Assalammualaikum, salam semua. Hari ni che mat masak gulai nangka muda tulang lembu, tulang tu che mat guna tulang rusuk lembu, tak guna banyak, hanya sebagai perencah saja. Kalau tak makan lembu, boleh gantikan dengan ayam, udang atau tulang ikan masin kurau. Tapi kalau guna tulang ikan masin kena rendam dulu dan garam kena jaga, jangan main campak sebarang. Memasak ni, biar tawar dari masin, kalau dah masin memang spoil lah, tambah kuah kang meladung, rasa dia pun dah lari, main makan ajer, tekanan darah naik pulak (tapi boleh juga cuba masukkan kentang yang dibelah 4, kata orang kentang ni menyerap garam), jadi kesimpulannya, kena berhati2 guna garam, ingat pesanan pakcik ok. Satu lagi nak pesan, kalau resipi macam ni kena beli nangka muda yang biji dia kecik atau yang betul2 muda. Kalau yang biji dia dah besar dan jerami nangka agak kasar, yang macam tu kurang sesuai untuk resipi masak gini, kecuali nak masak lemak putih boleh lah. Itu mak che mat yang ajar lah, tak paksa suruh ikut, cuma berkongsi petua...
Resipi che mat ni tak banyak beza dari resipi2 biasa yang ada di internet, tapi tak sama. Che mat masukkan rempah ketumbar, jintan manis dan jintan putih. Sepatutnya nak tambah kerisik, tapi kerisik kehabisan pulak. Tak taruk kerisik pun dah ok, kalau taruk lagilah sedap nak pengan. Seperti biasa, kalau gulai, kena masak awal sikit dan rasanya lebih sedap selepas 2 - 3 jam. Cuma kita kena jaga lah, masa panas2 tu toksah tutup rapat, kena renggangkan sikit tudung periuk, atau selitkan dengan senduk kayu agar tutup periuk renggang. Satu lagi, bila dah siap masak dan api dah dipadamkan, jangan dikacau2 kerap sangat, ini pun salah satu sebab gulai cepat basi. Kalau nak rasa, jangan sekali2 cekut dengan tangan, guna sudu bersih dan kering kalau nak cedok lauk untuk dirasa. Harap dapat membantu tak sikit banyak. Che mat ni bukan pandai mana masak, berkongsi ni pun berdasarkan pengalaman di dapur. Ok, jom kita cuba masak gulai nangka muda tulang lembu, resipi seperti berikut...
BAHAN-BAHANNYA :-)
Nangka muda secukupnya (che mat beli yang dah siap bersiang dalam RM 2 macam tu)
400 gram tulang rusuk lembu yang masih berdaging
1 inci halia, hiris
3 ulas bawang putih, diketuk
2 batang serai, diketuk
1 helai daun kunyit, disiat
1 keping asam gelugor
500 ml santan cair
400 ml santan pekat
3/4 camca besar ketumbar biji*
1 camca teh jintan manis*
1 camca teh jintan putih*(*digoreng tanpa minyak hingga wangi dan tumbuk halus)
Garam dan gula secukup rasa
Air jika perlu
BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
10 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
2 biji cili merah
20 biji cili padi
1/2 inci halia
1 inci kunyit hidup, pilih isi kunyit yang tua
CARA MEMBUATNYA :-)
- Cuci tulang lembut, kemudian rebus selama 20 minit, toskan dan buang air rebusannya. Masukkan ke dalam periuk, tambah air baru, masukkan hirisan halia dan bawang putih ketuk. Rebus kembali untuk kali ke-2 hingga daging pada tulang rusuk empuk. Kalau guna periuk tekanan, rebus selama 20 minit. Asingkan air rebusannya dan isinya. Nangka muda direbus hingga 3/4 empuk, toskan dan ketepikan.
- Panas minyak dalam periuk, anggaran 4 camca besar. Tumis serai hingga harum, masukkan bahan2 kisar halus dan rempah yang ditumbuk halus tadi, masak hingga wangi dan naik minyak. Masukkan santan cair dan air rebusan tulang, kacau dan biarkan mendidih.
- Tambah nangka muda dan tulang rusuk, kacau perlahan dan masukkan asam gelugor. Tuang santan, masak dengan api sederhana hingga mendidih, kacau sentiasa. Jika kurang kuah boleh tambah sedikit lagi air. Masukkan daun kunyit, perasakan dengan garam secukupnya dan sedikit gula, Masak hingga nangka empuk, rasa dan jika ok boleh matikan api. Boleh hidangkan dengan nasi....Selamat mencuba!