Assalammualaikum, salam semua. hari ni dah 21 hari kita berpuasa, cepat betul. Dah banyak ke bikin biskut raya? Che mat ada lah dalam 8 jenis macam tu, tapi biskut biasa2 saja, sama macam tahun2 sudah, cuma ada lah 3 - 4 jenis yang baru, tu pun bukan baru sangat, orang lain dah lama buat, kita baru nak mencuba. Hari ni che mat bukan nak kongsikan resipi biskut raya, tapi resipi asam pedas daging. Pada mulanya rasa malas juga nak jadikan entri blog, tapi kat FB dan IG ada pulak mintak kongsikan, dah terlanjur ada permintaan, elok juga lah kita tulis dalam blog. Lama juga che mat tak taruk entri asam pedas. Asam pedas daging biasanya sinonim dengan negeri Melaka, tapi yang che mat bukan lah yang asli Melaka punya, lebih kepada yang biasa2 saja. Che mat gunakan daging batang pinang dalam 1/2 kg macam tu. Sebab daging tu lembut, jadi tak perlu rebus. Tapi kalau guna daging biasa, kenalah rebus dulu atau boleh terus masak asam pedas dalam periuk tekanan. Asam pedas daging lebih enak kalau daging dia ada sedikit lemak, kalau yang tak diet tu, boleh guna tetel, yang tu lagi lah, minta ampon dia punya sedap...Boleh pingsan terus!....Resipi, kat bawah ni yea...
500 gram daging batang pinang, hiris nipis
1 batang serai.diketuk
3 helai daun limau purut
2 biji tomato, belah 4 setiap 1
1 kuntum bunga kantan, dibelah 2
3/4 camca besar pes asam jawa
1/3 cawan cili kisar
1 camca teh lada hitam, tumbuk halus
Garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya
BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
5 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1 inci halia
1/2 inci belacan
1 inci kunyit hidup
2 keping nipis hirisan lengkuas
CARA MEMBUATNYA :-)
- Panaskan minyak dalam periuk, anggaran 1/4 cawan. Tumis serai dan bahan2 kisar halus hingga wangi, masukkan cili kisar, kacau rata dan masak hingga cili garing dan naik minyak, guna api kecil dan kacau sentiasa. Masukkan daging dan lada hitam tumbuk, gaul rata dan masak hingga daging kecut.
- Tambah pes asam jawa, gaul rata dan tuang air secukupnya hingga daging tenggelam (jika guna daging yang direbus, masukkan air rebusan daging sebagai kuahnya). Kacau dan biarkan mendidih. Tambah daun limau purut dan bunga kantan.
- Perasakan dengan garam secukupnya (anggaran 1 1/2 camca teh) dan sedikit gula. Kacau perlahan dan biarkan masak hingga daging empuk. Akhir sekali masukkan tomato, kacau dan boleh matikan api. Hidangkan asam pedas daging bersama nasi panas, ulam2man dan telur dadar semasa berbuka puasa. Selamat mencuba!