RESIPI BISKUT BANGKIT KELAPA

Assalammualaikum, salam Khamis 11 Ramadan. Dah mula buat biskut raya ke tu? Che mat sebenarnya sejak Isnin tu hari dah mula buat, tapi hari pertama tu buat biskut yang sama (Biskut Senyum), jadi malaslah nak cerita2, segan, kang orang kata, biskut sama tiap2 tahun pun nak kecoh. Membuat biskut raya ni sebenarnya mengembalikan nostalgia kita. Macam che mat, keutamaan mesti pada mak dulu, mana biskut yang dia gemar, kita buat, walaupun lepas tu dia cuma makan sekeping dua, tu tak kesah yang penting keinginan dia kita dah penuhi, betul tak. Tradisi membuat biskut raya , tak sikit banyak harus kita kekalkan, bukan suruh buat sampai 12 jenis, cukup sekadar 3 - 4 jenis pun dah ok, kata orang tua2 jangan tidak. Teringat zaman dulu, kalau dah nak hujung2 puasa, semerbak bau aroma biskut2 lama, seperti semperit, biskut dahlia, kuih bangkit santan dan tak lupa kuih baulu. Takde makna hari raya kalau meja takde biskut raya. Kurang meriahnya...

Semalam, che mat mencuba satu resipi dari Chef  Norzailina Nordin, pasti ramai yang kenal, Kak Norz seorang chef selebriti, penulis buku2 masakan, dan juga penulis novel yang hebat. Dalam salah satu buku masakan beliau, 100 Resipi Biskut, Kek, Manisan dan Kudapan, che mat berkenan sangat dengan biskut bangkit kelapa. Nampak modern tapi bercitarasa tradisional. Jadi sejak awal memang teringin nak mencuba. Alhamdulillah, memang betul jangkaan che mat, dari senarai bahan2nya, kita sudah dapat agak, biskut ini hasilnya memang sedap, yelah yang menciptanya pun bukan calang2 orang, mereka yang pakar dan berpengalaman luas. Resipi ini che mat memang rekomen pada mereka yang gemar rasa biskut yang lemak, harum dengan aroma kelapa, ringan dan cair di mulut. Anda harus cuba. Resipi che mat kongsikan di bawah ini. Terlebih dahulu, terima kasih Kak Norz atas keizinan...

BAHAN - BAHANNYA :-)
125 gram mentega ( che mat guna 'golden churn)
130 gram gula aising, diayak
2 kuning telur
50 gram sebuk santan
2 - 3 camca besar pati santan (che mat guna 3 camca besar santan #kara)
280 gram tepung ubi*
130 gram tepung gandum*
1 1/2 camca teh baking powder*(*disatukan, gaul rata dan diayak)
60 gram kelapa kering, dikisar halus
Sedikit kelapa panggang untuk hiasan (yang ni optional, resipi asal guna coklat cip)
Putih telur, untuk disapu atas biskut, jika gunakan kelapa panggang sebagai hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Putar mentega dan gula aising hingga sebati, tak perlu sampai kembang. Masukkan kuning telur satu persatu dan putar hingga rata. Perlahankan kelajuan mesin kek, masukkan pati santan, serbuk santan, bahan yang diayak dan juga kelapa kering yang dikisar halus tadi. Putar hingga menjadi doh yang boleh dicanai. Bulatkan doh dan tutup doh dengan tuala dapur bersih yang telah dilembapkan.
  2. Bahagikan doh kepada 4 bahagian. Ambil sebahagian doh dan canai antara dua keping plastik bersih setebal 4 - 5 mm, terap dengan acuan kegemaran anda dan susun dalam dulang pembakar. Buat hingga siap. Sapu setiap permukaan biskut dengan putih telur dan hiaskan dengan kelapa panggang. 
  3. Bakar biskut pada suhu 170C selama 18 - 20 minit (che mat bakar kurang lebih 23 minit, sebab biskut tu tebal sedikit. Apa2 pun bergantung pada oven masing2 lah yea). Bila masak, keluarkan biskut dari oven dan biarkan dalam dulang sekejap hingga suam. Alihkan biskut atas jaringan dan biarkan sejuk. Boleh simpan dalam bekas kedap udara...Selamat mencuba!

Subscribe to receive free email updates: