RESIPI RENDANG AYAM DAUN MAMAN

Assalammualaikum, salam semua. Tinggal berbaki kurang lebih seminggu lagi kita berpuasa, in sha Allah. Moga dipermudahkan urusan amal ibadat kita di akhir2 Ramadan ini. Hari ni che mat nak kongsikan resipi klasik orang Negeri Sembilan terutama di daerah Gemencheh, iaitu rendang maman. Sebenarnya, rendang sebegini dah lama che mat dengar cuma tak pernah rasa. Maklumlah di Johor, memang payah nak dapat daun maman, sebab bukan semua orang pandai makan. Hari Isnin tu hari che mat ke Mersing, lepas tu terus ke Endau, sempat juga singgah di pasar Endau. Tiba2 dari jauh dah terperasan satu benda yang memang dicari2. Sebelum ni pernah juga jumpa orang jual di pasar yang sama, tapi dah kecut dan kering. Yang che mat beli ni memang segar dan fresh, daun dia pun nampak elok dan tak berkerpot. Harga pun tak mahal sangat, seikat RM 2, kurang lebih 1/2 kg macam tu.  

Memang che mat plan nak masak rendang sama ayam kampung, sebabkan kami ni kat rumah cuma 3 beranak ajer, jadi takut lah nak beli sayur maman ni lebih2. Hari ni tadi, lepas che mat siap melapis kek lapis rempah, kita pun on lah masak rendang maman, dah macam nak raya pulak. Santan che mat yang betul2 pekat dari 3 biji kelapa. Apa? Banyaknya?...Nak buat macam mana, benda ni masakan tradisi, jadi kau kena lah ikut betul2 untuk mendapat rasa setanding air tangan orang lama, betul tak, sekali2 ok lah, jangan kau baham hari2, memang cari nahas namanya. Cara memasaknya pun ada teknik tertentu untuk mengelakkan redang ayam maman ni rasa pahit dek daun maman tu. Berani mencuba? Meh che mat kongsikan resipi....sekali rasa, mesti nak lagi wakk!..

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 ekor ayam kampung, berat kurang lebih 1+ kg, dipotong ikut suka, cuci bersih dan toskan
1 cekak daun maman, kurang lebih 600 gram, diambil daun dan batangnya yang lembut, cuci dan toskan hingga kering airnya
700 ml pati santan dari 3 biji kelapa
5 - 6 keping asam gelugor
Garam secukup rasa

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
1/2 cawan cili padi kampung, che mat campur yang hijau dan merah
3 inci kunyit hidup

CARA MEMBUATNYA :-)

  1. Masukkan bahan2 kisar halus dan ayam ke dalam kuali, gaul rata dan masak hingga ayam kecut dan berubah warna. Tuang santan pekat, kacau rata dan masak dengan api sederhana hingga naik minyak. Masukkan asam gelugor dan sedikit garam, anggaran 1 1/2 camca teh, kacau rata.
  2. Sederhanakan api, masukkan daun maman tadi. Tekan perlahan2 dengan sudip, jangan terus digaul, ini kerana nanti air maman tu keluar dan akan menghasilkan rendang yang pahit. Bila daun maman kelihatan layu, baru berhati2 digaul dan dikacau rata.
  3. Masak dengan api kecil hingga ayam empuk dan rendang hampir kering, kacau sekali sekala. Tambah garam jika perlu. Kalau suka rendang kering, boleh masak sekejap lagi, jika suka yang berkuah sedikit, boleh matikan api...Hidangkan dengan nasi panas. Selamat mencuba!
CATATAN MAT GEBU :- Bahan-bahan untuk rendang ayam daun maman ni memang cukup ringkas, tak guna halia, bawang, serai dan kerisik. Namun rasa rendang tetap enak, manis dari santan kelapa itu sudah cukup sebagai bahan perisa. Kalau ikutkan, 2 ikat daun maman baru ngam dengan resipi di atas, tapi che mat beli seikat saja, tu pasal rendang nampak macam kurang daun maman. Rasa dia? Punya lah sedap wakk!

Subscribe to receive free email updates: